Khamis, 16 Februari 2012

Manaqib Syeikh Muhammad Said al-Linggi


Di tangan saya sebuah kitab kecil berjudul "Kanzul Muid fi Manaqib al-Arif billah al-Syeikh Muhammad Said"....Kitab ini dikarang oleh anak Syeikh Muhammad Said sendiri iaitu Syeikh Ahmad bin Muhammad Said iaitu ulama tersohor Negeri Sembilan dan bekas mufti Negeri Sembilan. Kitab ini sarat dengan maklumat terperinci tentang Syeikh Muhammad Said seorang wali Allah dari umat melayu ini. Kitab ini menjelaskan bahawa keturunan beliau sama ada dari pihak ibu atau bapa adalah daripada keturunan baik-baik dan mulia-mulia. Ayah beliau sendiri iaitu Syeikh Jamaluddin adalah seorang ulama yang pernah mengajar di Masjid al-Haram Mekah.

Semasa kecil beliau di bawa ke Patani untuk belajar dengan ulama Patani seperti Tuan Minal. Lepas itu beliau merantau ke mekah belajar pula dengan ulama Melayu dan Arab di sana. Antara guru beliau ialah Syeikh Ahmad al-Fatani, Syeikh Muhammad Nawawi al-Bentani, Syeikh Wan Ali Kutan dan lain-lain. Lepas itu Syeikh Muhammad Said pergi belajar pula ke Madinah dan sempat mengaji dengan Syed Jaafar al-Barzanji. Diceritakan pula selepas itu beliau menziarahi baitul maqdis di bumi Palestin. Tidak cukup dengan itu beliau kemudiannya pergi belajar pula ke Mesir iaitu di universiti al-Azhar. Tidak lama kemudian beliau menemui Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Dandrawi. Daripada ulama itulah beliau menerima Tariqah Ahmadiyyah.

Buku ini juga menerangkan beberapa karamah yang zahir pada diri Syeikh Muhammad Said antaranya ketika beliau menziarahi makam Rasulullah SAW di Madinah dan beliau memberi salam maka kedengaran suara menjawab salam daripada makam Rasulullah SAW. Demikianlah sedikit informasi tentang ulama dunia Melayu yang tidak kurang hebatnya berbanding ulama dari bangsa lain....Soalnya, masih adakah ulama Melayu seperti itu sekarang?

Isnin, 6 Februari 2012

Jalan-jalan di Kota Kuala Muda


Cuti Raya Cina baru-baru ini saya sekeluarga jalan-jalan ke Kota Kuala Muda, Kedah. Selain makan mee udang di Pulau Sayak dan bersantai di tepi Pantai Merdeka, saya ambil peluang cari tempat bersejarah di kawasan berdekatan. Salah satu yang saya dapat ialah Bukit Meriam. Apa yang menarik dengan Bukit Meriam? Kalau kita tengok semula sejarah negeri Kedah sebagaimana yang dilaporkan dalam Tarikh salasilah Negeri Kedah tahulah kita bahawa semasa Syeikh Abdullah al-Qumairi dengan 11 orang sahabatnya berdakwah kepada raja di istana Kedah, semasa itu maharaja Durbar bersemayam di Istana Bukit Meriam. Bahkan pengislam Raja Kedah dan rakyat secara massal berlaku di istana Bukit Meriam inilah. Jadi ini bagi saya sejarah besar. Oleh itu saya cuba-cuba tinjau di mana Bukit Meriam ini. Ternyata memang ada sebuah bukit bernama Bukit Meriam namun tiada lagi kesan sejarah yang tinggal. Saya juga bertanya dengan pakcik Hasyim seorang tukang gunting di Bukit Meriam dan orang lama di situ, kalau-kalau ada kesan sejarah yang tinggal. Katanya yang tinggal hanya sebuah bukit dan itulah Bukit Meriam yang sebenar. Di bukit itu pun dah tiada apa lagi. Dulu-dulu orang kata ada meriam tapi sekarang dah tiada apa di sana menurut beliau.

Selepas itu saya terus ke pekan Kota Kuala Muda. Di situ saya telah menemui Pintu Gerbang Kota Kuala Muda. Kota yang dipercayai wujud disekitar tahun 1800 M itu kini telah runtuh dan sepi tidak terjaga lagi. Hanya Pintu Gerbang yang masih tegak berdiri tak jauh dari sungai Kuala Muda. Sejarah tinggal sejarah. Cuma bagaimana cara kita menghargai sejarah?

Jumaat, 20 Januari 2012

Fitnah Dajjal


Hari ini (20 Januari 2010) saya diminta untuk menyampaikan khutbah jumaat di sebuah masjid dekat sini. Pening juga fikirkan tajuk yang hendak disampaikan. Akhirnya saya pilih tajuk Fitnah Dajjal. Bagi saya ia penting untuk dibentangkan. Sebenarnya kita sudah di era akhir zaman. Jadi perkara sebegini patut diberitahu. Itu pendapat saya.

Saya perturunkan teks khutbah tersebut di sini , semoga ia bermanfaat kepada kaum muslimin.....





Fitnah Akhir Zaman: al-Masih al-Dajjal

Sidang jumaat yang dirahmati Allah sekalian.

Marilah kita bertaqwa kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga Allah memasukkan kita ke dalam golongan orang-orang yang beramal soleh dan mudah-mudahan dengan itu kita selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Khutbah pada hari ini ingin membawa sidang jumaat sekalian kepada suatu perkara besar yang pernah diperingatkan oleh Nabi SAW. Peringatan tersebut adalah berkaitan dengan satu fitnah yang sangat besar yang akan muncul pada akhir zaman ini. Fitnah tersebut ialah fitnah Dajjal, dimana tidak ada fitnah yang lebih dahsyat sejak Nabi Adam ‘alaihissalam diciptakan sehingga hari kiamat berbanding dengan fitnah ini. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

مَا بَيْنَ خَلْقِ آدَمَ إِلَى قِيَامِ السَاعَةِ خَلْقٌ أَكْبَرُ مِنَ الدَجَّالِ وفي رواية: فتنة أكبر من فتنة الدجال

“Tidak ada antara penciptaan Adam sampai hari kiamat yang lebih besar fitnahnya dari fitnah Dajjal.” (HR. Muslim no. 2946)

Bahkan tidak ada nabi yang diutus oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kecuali semuanya memperingatkan umat masing-masing tentang fitnah Dajjal ini sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam:

مَا بُعِثَ نَبِيٌ إِلَّا أَنْذَرَ أُمَّته الأَعْوَرَ الكَذَّابَ أَلَا إِنَّهُ أَعْوَرُ وَإِنَّ رَبَّكُمْ لَيْسَ بِأَعْوَرَ وَإِنَّ بَيْنَ عَيْنَيْهِ مَكْتُوْبٌ كَافِرٌ

“Tidak diutus seorang nabi kecuali memperingatkan umat mereka dari sang pendusta bermata sebelah (Dajjal). Ketahuilah sesungguhnya ia buta sebelah matanya sedangkan Tuhan kamu tidaklah buta sebelah mata dan antara kedua matanya tertulis ‘kafir’. ” (HR. Bukhari no.7130)

Berdasarkan hadis yang dibaca tadi, jelaslah bahawa perkara Dajjal ini adalah sangat besar dan perlu diberi perhatian oleh kita bersama. Apatah lagi kita umat yang hidup di akhir zaman. Zaman yang disebutkan sebagai zaman kerosakan dan zaman fitnah yang menguji keimanan dan akidah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian.

Terdapat hadis saheh yang menegaskan bahawa Dajjal itu sudah ada pada zaman Nabi SAW hidup lagi. Namun Dajjal tersebut terpenjara di sebuah pulau dalam keadaan terbelenggu sebagaimana yang diceritakan oleh Tamim Ad-Dari radhiallahu’anhu kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam ketika perahunya terdampar di sebuah pulau. Berhubung dengan perkara ini Ibnu Hajar al-Asqalani menegaskan didalam kitabnya Fath al-Bari bahawa orang yang ditemui oleh Tamim al-Dari itu adalah Dajjal yang akan keluar di akhir zaman kelak.

Hadis-hadis saheh juga telah menghuraikan beberapa sifat Dajjal yang penting antaranya ialah Dajjal itu seorang lelaki muda, berkulit merah, bertubuh pendek, berambut keriting, berdahi besar, lehernya lebar, mata sebelah kanannya buta seperti anggur yang menonjol, mata kirinya terdapat selaput yang keras, di antara dua matanya tertulis ka, fa, ro (كفر) yang dapat dibaca oleh orang muslim sama ada yang buta huruf atau tidak dan dia seorang yang mandul tidak mempunyai anak.

Nabi SAW juga telah menerangkan beberapa fitnah besar yang dibawa oleh Dajjal diantaranya ialah sabda Nabi SAW:

وإن من فتنته أن معه جنة ونارا, فناره جنة وجنته نار

Yang Bermaksud:

“Dan diantara fitnahnya ialah bersama-samanya syurga dan neraka. Dan nerakanya pada hakikatnya adalah syurga dan syurganya pada hakikatnya adalah neraka”.

Ini mengambarkan tentang penipuan dan pembohongannya terhadap manusia sehingga ramai yang akan terpedaya. Lebih besar fitnahnya lagi apabila dia memerintahkan langit untuk menurunkan hujan maka turunlah hujan dan jika ia memerintahkan bumi untuk menumbuhkan tanaman maka tumbuhlah tanaman. Nabi SAW bersabda:

وإن من فتنته أن يأمر السماء أن تمطر فتمطر ويأمر الأرض أن تنبت فتنبت

Yang Bermaksud:

“Dan diantara fitnahnya ialah apabila dia menyuruh langit menurunkan hujan maka turunlah hujan dan apabila dia menyuruh bumi menumbuhkan tanam-tanaman maka tumbuhlah tanam-tanaman”.

Ini besar kemungkinan dilakukan dengan kecanggihan teknologi yang dimiliknya sehingga dia mampu membuat pelbagai perkara yang menakjubkan orang. Lebih menakutkan Nabi SAW bersabda:

وإن من فتنته أن يسلط على نفس واحدة فيقتلها

Yang Bermaksud:

“Dan diantara fitnahnya ialah dia menguasai jiwa seseorang lalu membunuhnya”.

Ini menunjukkan bahawa Dajjal itu akan mempengaruhi jiwa dan pemikiran manusia sehingga manusia jadi terpesong dari kebenaran. Adakah penguasaan terhadap jiwa dan pemikiran manusia dilakukan melalui media yang serba canggih sekarang? Adakah selama ini program televisyen, enternet, handphone, I-Pad dan lain-lain secara diam-diam telah cuba menguasai dan mempengaruhi jiwa kita? Dan sudah berapa banyak jiwa-jiwa yang telah dikuasai ini telah berjaya dibunuh dan hancurkan? Kita lihat setiap hari ada kes bayi dibuang, kes ragut, kes rogol, kes sumbang mahram, kes rempit, kes dadah. kes rasuah dan macam-macam lagi. Tidakkah perbuatan-perbuatan ini dikerjakan oleh manusia yang telah dikuasai dan dibunuh jiwanya?

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian.

Nabi SAW menerangkan tempoh Dajjal melakukan kejahatannya di dunia iaitu selama empat puluh hari:

يخرج الدجال في خفة من الدين وإدبار من العلم فله أربعون ليلة يسيحها في الأرض, اليوم منها كالسنة واليوم منها كالشهر واليوم منها كالجمعة ثم سائر أيامكم هذه.

Yang Bermaksud:

“Dajjal akan keluar ketika agama mulai lemah dan ilmu ditinggalkan. Dia akan tinggal dan berjalan dibumi selama 40 hari. Sehari bagaikan setahun dan sehari berikutnya bagaikan sebulan dan sehari berikutnya bagaikan seminggu. Kemudian seluruhnya harinya seperti hari-hari kamu”.

Sepanjang berkuasa di bumi Dajjal akan mendapat pengikut yang ramai terutamanya dari kalangan orang Yahudi. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

يُتْبَعٌ الدَجَّالَ مِنْ يَهُوْدِ أَصْبَهَانَ سَبْعُوْنَ أَلْفًا عَلَيْهِمُ الطَيَالِسَةُ

“Akan menjadi pengikut Dajjal dari kalangan Yahudi Asfahan yaitu tujuh puluh ribu orang yang mereka memakai jubah kasar dan bercorak.” (HR. Muslim, no.2944)

Dajjal ditaqdirkan Allah tidak dapat dibunuh kecuali oleh Nabi Isa ‘alaihissalam yang akan turun di menara putih di Damsyik, Syiria. Nabi SAW bersabda:

ويذوب الدجال حين يرى ابن مريم كما يذوب الرصاص حتى يأتيه أو يدرله عيسى فيقتله

Yang Bermaksud:

“Dan Dajjal menjadi meleleh ketika melihat Ibnu Maryam sebagaimana timah meleleh sehingga Isa mandatanginya dan mendapatkannya lalu membunuhnya”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian.

Berhadapan dengan fenomena Dajjal ini, kita digesa oleh Nabi SAW agar mencari perlidungan daripada fitnahnya yang dahsyat itu:

1. Pertamanya kita hendaklah mempelajari ilmu aqidah dengan sungguh-sungguh. Biar kejap pegangan dan pergantungan kita kepada Allah. Ini kerana tiada siapa yang mampu menyelamatkan kita di zaman kerosakan ini melainkan Allah.

2. Kedua hendaklah mempelajari kitabullah dan hadis-hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam yang berhubungan dengan sifat Dajjal dan menyampaikannya kepada anak keturunan kita agar mereka waspada dan terhindar dari fitnahnya.

3. Ketiga mintalah perlindungan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dari fitnah Dajjal seperti doa yang diajarkan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam iaitu:

أذا فرغ أحدكم من التشهد الأخر فليستعذ بالله من أربع, يقول: اللّهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ
وَمِنْ عَذَابِ القَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا وَالمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ المَسِيْحِ الدَجَّالِ

“Jika salah seorang dari kamu selesai membaca tasyahud akhir dalam solatnya maka mintalah perlindungan daripada empat perkara dan katalah: Ya, Allah aku berlindung kepadamu dari adzab neraka Jahannam, dan azab kubur, dari fitnah hidup dan fitnah setelah mati dan dari kejahatan fitnah Masih ad-Dajjal.” (HR. Muslim, no.588)

4. Keempat hendaklah menghafal permulaan surah Al-Kahfi sebagaimana sabda Nabi:

عَنْ أَبِيْ الدَرْدَاءِ أَنَّ النَّبِيَ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَالسَلَّمَ قَالَ مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آياتٍ مِنْ أَوَّلِ سُوْرَةِ الكَهْفِ
عُصِمَ مِنَ الدَجَّالِ

Dari Abu Darda – semoga Allah meridhainya – bahwasanya Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Barangsiapa menghafal sepuluh ayat pertama dari surat al-Kahfi maka ia dijaga dari Dajjal.” (HR. Muslim, no.809)

5. Kelima hendaklah sentiasa berada di dalam jamaah kaum muslimin dan jangan bercerai daripada mereka. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لاَتَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِيْ يُقَاتِلُوْنَ عَلَى الحَقِّ ظَاهِرِيْنَ عَلَى مَنْ نَاوَأَهُمْ حَتَّى يُقَاتِلَ آخِرُهُمْ المَسِيْحَ الدَجَّالَ

“Senantiasa ada sekelompok dari umatku yang mereka berperang di atas yang haq, menang atas orang-orang yang memusuhi mereka sampai kelompok terakhir dari mereka memerangi Dajjal.” (HR. Abu Dawud, no. 2484, Ahmad 3:429, Ash-Shohihah, no.1959)

6. Keenam jika ada di antara anak cucu kita mendengar tentang keluarnya Dajjal maka hendaklah dia pergi menjauhkan diri karena sangat besarnya fitnah Dajjal tersebut. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

من سمع بالدجال فلينأ عنه

“Barangsiapa yang mendengar tentang Dajjal hendaklah ia menjauh diri darinya.” (HR. Abu Dawud, no.4319, dan dishahihkan Al-Albani dalam Al-Misykah 3:1515)

Isnin, 26 Disember 2011

Mengenang 500 tahun kejatuhan Melaka

Lima ratus tahun (1511-2011 M) jatuhnya Melaka masih berbekas di hati saya...kali ini saya paparkan syair Hamka tentang perasaan hatinya berkaitan kejatuhan Melaka. Syair ini dikarang ketika beliau duduk termenung di tepi pantai Melaka. Dalam syairnya beliau mengungkap kembali fakta sejarah untuk iktibar dan teladan. Dalam syairnya juga terkandung nasihat dan semangat. Bagi orang yang faham bahasa syair, kata-kata syair Hamka ini sangat kuat dan membekas.....(Syair ini saya nukil dari buku Buya Hamka berjudul:Kenang-kenangan Hidup, terbitan Pustaka Antara tahun 1982).....


Di Atas Runtuhan Melaka Lama


Di atas runtuhan Melaka Lama
Penyair termenung seorang diri
Ingat Melayu kala jayanya
Pusat kebesaran nenek bahari

Di atas munggu yang ketinggian
Penyair duduk termenung seorang
Jauh pandangku ke pantai sana
Ombak memecah di atas karang

Awan berarak mentilau menyanyi
Murai berkicau bayu merayu
Kenang melayang ke alam sunyi
Teringat zaman yang lama lalu

Sunyi dan sepi, hening dan lingau
Melambai sukma melenyai tulang
Arwah Hang Tuah rasa menghimbau
Menyeru umat tunduk ke Tuhan

Di sini dahulu alat kebesaran
Adat resam teguh berdiri
Duduk semayam Yang Dipertuan
Melimpahkan hukum segenap negeri

Di sini dahulu Laksamana Hang Tuah
Satria moyang Melayu jati
Jaya perkasa, gagah dan mewah
Tidak Melayu hilang di bumi

Di sini dahulu payung terkembang
Megah Bendahara Seri Maharaja
Bendahara yang cerdik tumpuan dagang
Lubuk budi laut bicara

Penyair mengadap ke laut lepas
Selat Melaka tenang terbentang
Awan berarak riak menghempas
Mentari turun rembanglah petang

Wahai tuan Selat Melaka
Mengapa tuan berdiam diri
Tidakkah tahu untung hamba
Hamba musafir datang ke mari

Di mana Daulat Yang Dipertuan
Mana Hang Tuah, mana Hang Jebat
Mana Bendahara johan pahlawan
Bukankah jelas dalam babad

Namanya tetap jadi sebutan
Bekasnya hilang payah mencari
Sedikit penyair bertemu kesan
Musnah dalam gulungan hari

Mengapa ini bekas yang tinggal
Umat yang lemah terkatung-katung
Hidup menumpang tanah terjual
Larat wahai larat dipukul untung

Adakah ini bekas peninggalan
Belahan diriku umat Melayu
Lemah dan longlai tiada keruan
Laksana bunga terkulai layu

Jauh di darat penyair melihat
Gunung Ledang duduk termanggu
Tinggi menjulang hijau dan dahsyat
Hiasan hikayat nenekku dahulu

Di dalam ku asyik merenung-merenung
Di dalam kemilau panas kan petang
Tengah khayal dirundung menung
Rasanya ada orang yang datang

Penyair hanya duduk sendiri
Tapi keliling rasanya ramai
Bulu romaku rasa berdiri
Berubah warna alam yang permai

Ada rasanya bisikan sayu
Hembusan angin di Gunung Ledang
Entah puteri datang merayu
Padahal beta bukan meminang

Bukanlah hamba Sultan Melaka
Jambatan emas tiada padaku
Kekayaanku hanya syair seloka
Hanya nyanyian untuk bangsaku

Jesteru terdengar Puteri berkata
Suaranya halus masuk ke sukma
Maksudmu tuan sudahlah nyata
Hendak mengenang riwayat yang lama

Bukan ku minta jambatan emas
Tapi nasihat hendak ku beri
Kenang-kenangan zaman yang lepas
Iktibar cucu kemudian hari

Sebelum engkau mengambil simpulan
Sebelum Portugis engkau kutuki
Inggeris Belanda engkau cemarkan
Ketahui dahulu salah sendiri

Sultan Mahmud Syah mula pertama
Meminang diriku ke Gunung Ledang
Segala pintaku baginda terima
Darah semangkuk takut menuang

Adakah cita akan tercapai
Adakah hasil yang diingini
Jika berbalik sebelum sampai
Mengorbankan darah tiada berani

Apalah daya Datuk Bendahara
Jika Sultan hanya tualang
Memikir diri seorang sahaja
Tidak mengingat rakyat yang malang

Sultan Ahmad Syah apalah akalnya
Walaupun baginda inginkan syahid
Mualim Makhdum lemah imannya
Di sini bukan tempat tauhid

Bandahara Tua Paduka raja
Walaupun ingin mati berjuang
Bersama hilang dengan Melaka
Anak cucunya hendak lari pulang

Berapa pula penjual negeri
Mengharap emas, perak bertimba
Untuk keuntungan diri sendiri
Biarlah bangsa menjadi hamba

Ini sebabnya umat akan jatuh
Baik dahulu atau sekarang
Inilah sebab kakinya lumpuh
Menjadi budak belian orang

Sakitnya bangsa bukan di luar
Tetapi terhunjam di dalam nyawa
Walau diubat walau ditawar
Semangat hancur apalah daya

Janjian Tuhan sudah tajalli
Mulialah umat yang teguh iman
Allah tak pernah mungkirkan janji
Tarikh riwayat jadi pedoman

Tidaklah Allah mengubah untung
Suatu kaum dalam dunia
Jika hanya duduk terkatung
Berpeluk lutut berputus asa

Malang dan mujur nasibnya bangsa
Turun dan naik silih berganti
Terhenyak lemah, naik perkasa
Bergantung atas usaha sendiri

Riwayat yang lama tutuplah sudah
Apalah guna lama terharu
Baik berhenti bermenung gundah
Sekarang buka lembaran baru

Habislah sudah madahnya puteri
Ia pun ghaib capal pun hilang
Tinggal penyair seorang diri
Di hadapan cahaya jelas terbentang

Pantai Melaka ku lihat riang
Nampaklah ombak kejar mengejar
Bangunlah tuan belahanku sayang
Seluruh timur sudahlah besar

Bercermin pada sejarah moyang
Kita sekarang mengubah nasib
Di zaman susah atau pun riang
Tolongan tetap dari yang Ghaib

Bangunlah kasih umat Melayu
Belahan asal satu turunan
Bercampur darah dari dahulu
Persamaan nasib jadi kenangan

Semangat yang lemah dibuang jauh
Jiwa yang kecil kita besarkan
Yakin percaya iman pun teguh
Zaman hadapan penuh harapan

Khamis, 15 Disember 2011

1511- 2011: 500 tahun berlalu...


Disember 2011 bakal tamat tak lama lagi. Sedar tak sedar, tak lama lagi cukuplah 500tahun umat Melayu jatuh bangun di bumi bertuah ini sejak kejatuhan Melaka pada tahun 1511 M. Sebelum 1511 umat Melayu telah menerima Islam hampir 400 tahun. Ini jika dilihat tarikh masuk Islamnya Sultan Kedah yang pertama pada tahun 1136 M (sebagaimana yang disebut dalam tarikh salasilah negeri Kedah). Jadi 1136 sampai 1511ialah 375 tahun yakni hampir 400 tahun. Masa itu umat Melayu berdiri megah dengan Islamnya. Kesultanan Melayu Melaka, Acheh, Patani, Johor, Demak dan Sulu serta Brunai telah bangkit sebagai kesultanan Melayu Islam yang kuat di nusantara. Melaka menjadi pusat perkembangan agama Islam di alam Melayu. Bahasa Melayu jawi menjadi lingua frangka. Umat Melayu pada waktu itu terkenal sebagai pedagang, peniaga dan pelayar disamping pendekar dan hulubalang yang gagah. Raja-raja Melayu bertahkta disinggahsana memimpin negara yang makmur dan kaya.

Namun selepas 375 tahun berkuasa, tanggal 1511 umat Melayu mulai kehilangan kuasa. Penjajah Kafir Siam, Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun merobek-robek kedaulatan umat melayu Islam di sini. Tanah Melayu dijajah selama 446 tahun (dari 1511 hingga 1957). Semasa era penjajahan umat Melayu hidup penuh ranjau. Umat Melayu kalah perang dan akibatnya Umat Melayu hilang negara, raja Melayu hilang takhta, pendekar Melayu diburu hingga ke hutan. Bangsa Melayu menjadi hamba ditanahair sendiri. Gereja mula didirikan di tanah Melayu . Silih berganti bangsa kafir menjajah bumi ini. Akhirnya umat Melayu jadi seperti nasib seorang wanita yang dirogol bergilir-gilir. Terkulai dan layu.

Habis segala kekayaan bumi Melayu dirompak penjajah. Walaupun tanah Melayu menjadi pengeluar bijih timah dan getah nombor satu di dunia (era Inggeris) namun segala keuntungannya balik ke London. Lebih menderita Inggeris dengan dasar Dajjalnya, telah membawa terlalu ramai buruh-buruh Cina dan India yang kafir ke bumi Melayu ini tanpa memikirkan survival umat Melayu pada masa hadapan. Mereka menjadi buruh yang menggerakkan ekonomi Tanah Melayu di sektor perlombongan dan perladangan yang ditaja Inggeris. Sedangkan Orang Melayu yang hilang kedaulatan dan kerajaan itu dibiarkan tinggal dikampung-kampung dengan sawah dan laut sebagai petani sara diri dan nelayan yang miskin.

Disaat Inggeris membangunkan bandar-bandar, jalanraya, jalan keretapi, pelabuhan dan segala kemudahan infrastruktur untuk melancarkan program ekonominya, di saat itu orang Melayu hanya mampu melihat segala pembangunan itu. Ini kerana orang Melayu tinggal kampung dan di kampung tiada apa-apa pembangunan. Di saat kebanciran warga asing Cina dan India gigih bekerja di lombong dan estet, orang Melayu tak berubah kerjayanya turun sawah, masuk hutan, cari ikan sepat dan keli disungai atau turun ke laut lepas. Hidup serba sederhana di bumi yang subur dan kaya raya. Lama-kelamaan orang Cina di bandar jadi kaya, daripada buruh dah jadi taukeh. Lama-lama jurang ekonomi antara kaum semakin melebar. Tapi Inggeris tak peduli itu semua, yang penting projek ekonominya bejaya dan untung. Orang Melayu dibiar terpinggir.

Setelah tamat perang dunia kedua, orang Melayu mulai sedar sedikit. Bila orang Melayu dikejutkan dengan Malayan Union, maka muncullah tokoh-tokoh Melayu yang lantang menentang dasar Inggeris. Sebenarnya sejak zaman Melaka di jajah sampai merdeka hanya orang Melayulah yang lawan penjajah. Yang lawan Portugis ialah orang Melayu termasuk Tun Fatimah puteri Melaka yang berani. Yang lawan Belanda ialah orang Melayu termasuk putera Melayu Bugis, Raja Haji yang syahid di Teluk Ketapang. Yang lawan Inggeris ialah orang Melayu seperti Dato Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau di Pahang. Tok Janggut di Kelantan. Hj. Abd Rahman Limbong dan Tokku Paloh di Terengganu. Sultan Abdullah dan Dato Maharajalela di Perak. Dol Said di Naning. Sharif Masahor dan Rosli Dobi di Sarawak. Mat Salleh di Sabah. Yang lawan penjajah Siam budhha juga orang Melayu seperti Tengku Kudin dan syeikh Abdul Samad al-Palembani yang gugur syahid dalam perang Siam-Kedah. Yang bangkit lawan Jepun pun orang Melayu juga seperti Laftenan Adnan dan rejimen askar Melayu di Singapura. Yang lawan komunis pun orang Melayu juga seperti Kiyai Hj. Salleh di Johor dan Tuan Guru Hj. Mahmud Nasri di Baling, Kedah.

Terbukti sudah, hanya orang Melayu yang sanggup gadai nyawa pertahankan bumi bertuah ini. Kita tidak menemui nama-nama Cina dan India menentang Inggeris. Sejarah mencatatkan bahawa orang Cina hanya menentang Inggeris melalui wadah Parti Komunis Malaya PKM. Perjuangan PKM bukan saja menentang Inggeris bahkan ia bercita-cita menegakkan negara komunis di bumi Melayu ini. Perjuangan komunis berlawanan dengan agama dan adat budaya orang-orang Melayu. Sebenarnya sebelum penjajahan Jepun, orang Cina tak pernah menentang Inggeris kerana orang Cina menganggap Inggeris adalah tuan mereka di negara ini. Inggeris yang bawa mereka ke sini, jadi mereka bertuankan Inggeris dan bukannya bertuankan raja-raja Melayu. Sebab itu mereka tidak menentang Inggeris seperti orang Melayu menentang Inggeris. Cuma selepas Jepun kalah orang Cina PKM guna senjata yang diberi Inggeris dan ambil kesempatan untuk take over pemerintahan tanah Melayu. Ini fakta sejarah!

Semasa Malayan Union orang melayu lawan tapi MCA sokong. Sebelum itu nama pejuang Melayu seperti Dr. Burhanuddin al-Helmi, Ustaz Abu Bakar al-Baqir, Ibrahim yaakob dan lain-lain ditangkap Inggeris. Akhirnya bila merdeka golongan Melayu sekular naik jadi pemimpin Tanah Melayu. Golongan sekular ini bermurah hati memberikan kerakyatan kepada orang Cina dan India dengan mudah. Sikap baik sangka dan baik hati yang tak terperi-peri itu menjadikan orang Melayu berkongsi kuasa dengan orang lain dalam memerintah tanah ini. Mulai detik itu ketuanan Melayu Islam telah tiada lagi di bumi ini dan yang ada hanya pemerintahan bersama kaum lain. Pada tahun 1965 orang Melayu terlepas bumi Singapura. Bumi sang Nila Utama terlepas kepada Lee Kuan Weu hasil politik lemah pemimpin-pemimpin Melayu. Tahun 1969 menyaksikan parti-parti politik orang Cina menang piliharaya khususnya di Selangor dan Pulau Pinang. Orang Melayu tak puas hati lepas itu mengamuk tapi orang Melayu juga yang beri kerakyatan kepada mereka dulu. Bila dapat kewarganegaraan maka mereka berhak tubuh parti dan masuk pilihanraya. Maknanya meraka dapat hak untuk berusaha bagi merebut pemerintahan tanah Melayu ini. Itu dibenarkan undang-undang dalam negara demokrasi. Sepatutnya sebelum bagi kewarganegaran dulu, kita fikir habis-habis.

Tahun 1980-an menyaksikan konflik politik Melayu sangat menyedihkan. UMNO pecah team A dan team B dan akhirnya parti UMNO diharamkan. Lepas itu tragedi Memali november 1985 dan tragedi Lubuk Merbau meyaksikan korban yang tidak sepatutnya berlaku sesama Islam dan Melayu. Tahun 1998 UMNO pecah lagi, Anwar Ibrahim ditendang dari UMNO dan politik lucah mulai menggila dalam politik negara ini. Inilah politik sesama Melayu yang memalukan. Tahun 2012, BN bakal menghadapi Pakatan Rakyat yang semakin kuat. Pilihanraya nanti memaksa parti-parti Melayu bekerja sama dengan parti bukan Melayu. Kalau nak menang terpaksalah berbaik-baik dengan bukan Melayu. Maka UMNO dan Pas buat macam-macam untuk menangi hati bukan Melayu. Demikianlah nasib umat Melayu kini, tanah pusaka sendiri pun tak boleh perintah sendiri.

Ketika politik Melayu kucar-kacir, anak-anak muda Melayu pula asyik leka dengan pelbagai jenis hiburan yang tidak berfaedah. Muda-mudi Melayu hanyut di kelab malam, pesta dan konsert. Hisap dadah, minum arak dan berzina bukan asing bagi anak-anak Melayu sekarang. Buang anak hampir setiap hari. Merempit dan meragut demi untuk membeli dadah. Akibat kena syabu, anak Melayu sanggup bunuh ibu bapa sendiri. TV memberi saham terbesar merangsang anak muda agar pandai menyanyi, menari, main alat muzik dan menjadi model. Terpusu-pusu anak Melayu nak jadi penyanyi dari yang kecil sampai yang tua. Ada Bintang Kecil untuk budak. Ada Mentor, Akademi Fantasia, Geng Star untuk remaja. Ada Bintang Klasik untuk yang tua. Kalau menang dapat hadiah ribu-ribu. Kalau kalah mulalah menangis tersesak-esak. Bukan anak yang masuk bertanding saja menangis sampai ke ibu bapa pun turut menangis. Sesal sungguh. Kecewa sungguh. Tapi ketika Pulau Batu Putih terlepas, siapa pun tak nangis. Masa Tanjung Pagar terlepas tak ada berita pun ada anak Melayu menangis. Alahai Melayu!..... jauh sungguh terpesong! Demikianlah hikayat Melayu selepas 500 tahun Tanah Melayu jatuh ke tangan Portugis!

Sabtu, 10 Disember 2011

Mejunjung Kasih Tuanku!


Pada 13.12.2011 nanti, Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Muazzam Syah akan naik takhta selaku Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Malaysia. Sekurang-kurangnya ada 5 keistimewaan baginda selaku Yang Dipertuan Agong yang baru:

1. Kali ini Baginda naik takhta untuk kali yang kedua. Ini bermakna Baginda mencatat sejarah Malaysia kerana bagindalah satu-satunya sultan yang menjadi Yang Dipertuan Agong sebanyak dua kali.

2.Kali ini Baginda akan bersemayam di istana baru yang serba indah dan canggih. Nampaknya bagindalah Agong yang pertama yang akan merasmikan istana yang baru siap tersebut.

3.Kali pertama Baginda menjadi Yang Dipertuan Agong ialah pada zaman Perdana Menteri Tun Razak Tuan Husien dan kali ini Baginda menjadi Agong pada zaman anaknya iaitu Najib Tun Razak.

4.Kalau dulu Baginda menjadi Agong, negeri Kedah ditadbir BN tetapi kali ini Baginda naik takhta sedang negeri Kedah ditadbir pembangkang iaitu PAS.

5.Lebih menarik timbalan Yang Di Pertuan Agong pula ialah Sultan Kelantan yang terkenal warak dan berjiwa agama bahkan Baginda juga dari negeri pembangkang.

Nampaknya dua orang sultan ini akan memimpin Malaysia menangani cabaran 2012 kelak. Ingat tahun 1212 Malaysia bakal menghadapi Pilihanraya umum yang paling sengit dalam sejarah. Teringat saya ketika Sultan Abdul Halim kali pertama menjadi Yang Dipertuan Agong dahulu, negara baru saja mengalami huru hara 13 Mei 1969. Bahkan kalau tak silap saya Bagindalah yang melancarkan prinsip Rukunegara selepas berlaku 13 Mei.

Jauh dihati saya, teringat pula saya kepada Sultan Muzaffar Syah raja Melayu pertama yang memeluk agama Islam di nusantara iaitu pada tahun 1136 sehingga negeri Kedah bertukar memeluk agama Islam menjadi Darul Aman yakni aman daripada syirik dan kufur. Nampaknya sultan-sultan Kedah banyak mencipta sejarah maka sejarah apa pula yang bakal Sultan Abdul Halim tempa pada kali ini? Kita tunggu dan lihat!

Isnin, 28 November 2011

Selamat Tahun Baru Hijrah 1433!

Dah banyak minggu saya tidak menjenguk blog sendiri....sibuk betul di sini dengan pelbagai tugas baru...apa pun saya ucapkan kepada kaum muslimin "SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH 1433...SEMOGA MENDAPAT BERKAT DAN RAHMAT"....